TRIP GANG CIKGU SAMBUT A’IDIL ADHA DI BUMI HOKKAIDO (6 HARI 5 MALAM)

JAPAN TRAVELOG SEKITAR SAPPORO (HOKKAIDO)

Japan Travelog kali ni kami kongsikan perjalanan percutian musim panas ke Hokkaido selama 6 hari 5 malam seramai 11 orang dari kumpulan cikgu cikgi SMK Convent Jalan Peel, Cheras, Kuala Lumpur. Percutian ni dirancang hampir setahun demi memastikan kelancaran perjalanan. Anda boleh baca dan rujuk sebagai contoh itinerary di Hokkaido atau Sapporo.

Kenapa ambil masa setahun untuk merancang?

Kerana semua ahli yang pergi hendakkan keselesaan, dan tak mahu menggunakan pengangkutan awam. Setiap ahli juga memerlukan masa untuk mengumpul duit, dan mencari tiket yang murah.

Apa yang menarik dalam perlajanan ni adalah kami menyambut Hari Raya Aildil Adha di Hokkaido. Suatu pengalaman yang akan terpahat di hati, beraya di negara minoriti umat Islam.

Kapal terbang AirAsia X, berlepas dari Kuala Lumpur terus ke Sapporo, Hokkaido pada 11.00 malam dan sampai di New Chitose Airport pada keesokan paginya jam 7.300 pagi.

Semua ahli kumpulan sudah dipesan supaya berehat dan tidur secukupnya di dalam kapal terbang, kerana perjalanan akan terus dimulakan selepas mendarat.

Travel to Hokkaido
Hakak-hakak je berposing, abam-abam pemalu. Gambar sejurus keluar ke ruangan menunggu di Chitose Airport, Hokkaido.

HARI PERTAMA DI HOKKAIDO

Selepas selesai pemeriksaan imigresen dalam pukul 9.00 pagi, seperti dijanjikan guide dari Japan Pro Travel Guide (JPTG) dan salah seorang dari ahli kumpulan sebagai driver kereta kedua, mula bergerak untuk selesaikan urusan kenderaan.

Dari awal semua ahli kumpulan bersetuju convoy trip untuk menjimatkan kos. Dua buah kereta disediakan untuk 12 orang dan 1 guide. Jadi kami mengurus trip convoy lagi kali ni.

Kenderaan awam lebih jimat belanja, tetapi untuk di Hokkaido masih tak sesuai sebabnya memakan masa, menunggu, bertukar-tukar train dan berjalan kaki. Ada di antara ahli kumpulan ini yang tak mampu berjalan kaki berlebihan atas faktor kesihatan.

Sebelum memulakan perjalanan kami singgah di Indian Restaurant The Raj , untuk makan pagi dulu. Restoran ini Muslim Friendly dan hanya 3km dari lapangan terbang. Bila perut dah kenyang baru bertenaga untuk bergerak jarak jauh.

Travel to Hokkaido
Menu ala-ala restoran Mamak di Malaysia tetapi lagi variety, harga pula berpatutan di Jepun.

Selesai makan, kami menuju ke Asahikawa sejauh 180 km dari Chitose dan mengambil masa hampir 3 jam memandu tanpa henti. Laluan Doto Expressway ( 道東自動車道 ) dipilih dan keluar di Shimukappu, singgah di Furano dan melalui Biei sampai ke Asahikawa.

Perjalanan dari KL hampir 12 jam termasuk masa menunggu di lapanan terbang, semua ahli kumpulan sebenarnya  sudah keletihan. Tetapi sepanjang perjalanan, takde yang tidur, sebab tak terasa penat terpegun dengan keindahan panorama di kiri kanan jalan.

Kumpulan ni lebih sukakan kecantikan alam semula jadi, jadi JPTG cadangkan Sapporo sebagai destinasi mereka. Keputusan ni ternyata tepat melihat raut wajah ahli kumpulan yang seolah-olah dah lupa yang mereka dah berbelas jam dalam perjalanan.

Perancangan awalnya kami nak singgah di Unkai Terrace dahulu, tetapi disebabkan dah lewat dan cuaca hujan disana, kami terus ke daerah Furano. Lagi pun, Unkai Terrace ni mula beroperasi jam 4 pagi dan tutup pukul 8 pagi. Sudah tak sempat.

Travel to Hokkaido
NINGLE TERRACE: Pondok kecil yang menjual barangan kraf.

Dalam perjalanan kami singgah di Ningel Terrace yang terletak di Furano. Ningle Terrace ni sebenarnya pondok-pondok kecil tempat menjual cenderamata tetapi mempunyai senibina yang sangat menarik dan unik.

Pondok-pondok diperbuat daripada batang-batang kayu yang tebal yang disusun menjadi dinding dan bumbung. Memandangkan musim panas maka banyak kehijauan mengelilingi pondok-pondok ni.

Travel to Hokkaido
Coffee House @Ningle Terrace. Sempat mengopi untuk menghilangkan penat dan mengantuk.

Kombinasi hijau dan kayu itu cukup cantik dan membuatkan mereka semua terpegun. Tepat macam ni sesuai kalau buat di Malaysia. Selepas selesai bergambar dan bersantai minum kopi kami meneruskan perjalanan ke Farm Tomita, ladang bunga yang tak jauh dari Ningle Terrace ni.

Furano terkenal dengan ladang bunga terutamanya Lavender semasa musim panas. Disebabkan trip ini hujung Ogos, musim lavender dah pun habis. Tetapi bunga-bunga yang lain tak mengecewakan.

Travel to Hokkaido
Selfie je hakak-hakak ni

Keistimewaan Farm Tomita ni kemudahan Prayer Room. Walaupun terpaksa dikongsi dan begilir-gilir antara lelaki dan wanita, ruangnya sangat bersih dan selesa. Perlu diberi perhatian, tiada tempat wudu’ disediakan. Anda perlu gunakan air ditandas. Jangan sesekali mengangkat kaki kedalam sinki, gunakan botol atau spray untuk bahagian kaki.

Travel to Hokkaido

Hampir dua jam berselfie dalam ladang bunga ni, hati pun dah berbunga-bunga. Muka masing-masing dah mula pucat sebab kepenatan. Jadi guide cadangkan untuk terus ke penginapan. Kami meneruskan perjalanan ke Asahikawa.

Kami menyewa 3 buah homestay kerana kumpulan ni ada 3 keluarga. Jadi untuk keselesaan semua pihak JPTG telah menyewa rumah yang berlainan tetapi di bangunan yang sama.

Untuk pengetahuan rumah di Jepun ni comel-comel. Bila tinggal di homestay tak boleh bising, takut mengganggu kejiranan. Kalau tak mahu polis ketuk rumah sila jaga tingkah laku.

Travel to Hokkaido
Apartment di Asahikawa

Disebabkan keletihan, dan seharian tak mandi, kami memasak bekalan yang dibawa dari Malaysia sahaja. Asahikawa masih tiada restoran makanan halal kerana terletak di luar bandar. Cuma ada beberapa restoran Muslim Friendly. Bandarnya sangat tersusun, cantik dan sunyi di waktu malam.

HARI KEDUA DI HOKKAIDO

Perjalanan hari ni agak gila dan diluar perancangan. Seawal jam 2.30 pagi, kami dah mula bergerak keluar menuju ke Unkai Terrace. Jarak dari Asahikawa sekitar 130km dan memakan masa dalam 2 jam minit untuk sampai. Dalam perjalanan, berpeluang nampak rusa liar berlari-lari di tepi jalan.

Untuk pengetahuan anda, Unkai Terrace hanya dibuka 4.00 – 8.00 pagi sahaja semasa musim panas. Unkai Terrace adalah kawasan pergunungan untuk melihat gumpalan awan yang berada lebih rendah dari paras kedudukan kita di Unkai Terrace.

Travel to Hokkaido

Kami sampai di Unkai Teraace pukul 6.00 pagi dan terus membeli tiket gondola untuk naik ke puncak. Kereta kabel ini sama seperti kereta kabel di Langkawi  untuk melihat keindahan daripada puncak gunung Mat Chincang.

Sampai di puncak Unkai terrace ini nasib tidak menyebelahi kami kerana cuaca agak mendung, jadi awan malu untuk berkumpul. Walaupun pergi masa musim panas tetapi suhu agak sejuk sekitar 10oc dan angin sejuk mencucuk sampai ke tulang.

Travel to Hokkaido

Peratus untuk melihat awan yang bergerak ini sebenarnya amat tipis. Sekitar 30 % sahaja. Waktu yang sesuai untuk datang ke sini ialah permulaan musim panas dalam bulan Jun. Pada pendapat JPTG tempat ini boleh dikecualikan dari itinerary kerana terlalu jauh dan memakan masa.

Di samping itu untuk ke tempat ini anda perlu bergerak seawal 2.30 pagi. Walaupun tiada awan yang dinantikan, pemandangan dari puncak bukit ini sangat cantik. Kami turun daripada puncak Unkai Terrace jam 7.30 pagi dan terus berkelah di tempat parking sahaja.

Bekalan memang setiap keluarga telah sediakan malam tadi. Macam-macam menu ada tetapi yang penting kenyang dan menambahkan keakraban sesama rakan dan keluarga.

Travel to Hokkaido
Sarapan pagi

Kami berpatah balik kearah Asahikawa melalui Biei dan terus ke Shikisai No Oka. Masuk je dalam ladang ini lagi gila dibuatnya, Shikisai No Oka ini lebih besar daripada Farm Tomita dan lanskap ladangnya lebih cantik. Masa ni guide minta ruang untuk tidur didalam kereta sementara semua gang CPR berselfie. Disebabkan jadual hari ini terlalu awal dan tak ada dalam perancangan awal, guide kepenatan dan mengantuk.

Kalau tak larat berjalan diladang ini, ada disediakan tram atau anda boleh menyewa Buggy sekitar 500 yen untuk 15 minit sahaja. Tapi tak berbaloi, lebih baik berjlan kaki sahaja.

Apa yang boleh dilihat di kamera adalah jauh berbeza apabila melihat dengan mata kasar. Pada masa itu terasa hebatnya ciptaanNya. Selesai diladang bunga kami meneruskan perjalanan ke Shirahige Waterfall.

Travel to Hokkaido
Shirahige waterfall

Air terjun berwarna biru kesan daripada sulfur gunung berapi yang terdapat di dalam lapisan bumi. Kami terus bergerak ke Shirogane Blue Pond, tasik kecil berwarna biru yang jaraknya tak jauh dari Shirahige Waterfall. Kalau anda pernah ke danau-danau gunung merapi di Indonesia, tasik ini terlalu kecil untuk dibandingkan. Mungkin anda akan cakap “Ini je ke?”

Travel to Hokkaido
Shirogane Blue Pond

Selesai selfie bagai disini, kami terus balik ke homestay untuk makan dan solat. Badan masing-masing dah penat sebab awal pagi sudah keluar berjalan.

Daripada Biei ke Asahikawa memakan masa dalam 30 minit sahaja. Dalam perjalanan balik ada banyak ladang buah-buahan. Kami sempat singgah sekejap disalah satu gerai ladang disitu, beli jagung Hokkaido yang manis berlemak dan rock melon gred A pada harga 3000Yen sahaja sebiji. Kalau diluar, harga sebiji 2 kali ganda!

Travel to Hokkaido
Rock melon yang sangat sedap dan segar dari ladang

Balik ke homestay, rehat, makan dan solat. Malamnya kami keluar jalan-jalan sekitar Asahikawa city. Sempat meronda ke kedai used Hard Off dan 2nd Street atau orang Malaysia panggil kedai Bundle. Dan destinasi terakhir ke pasaraya MEGA Don Quijote cuci mata, cari jam, beg dan lain-lain.

HARI KETIGA DI HOKKAIDO

Hari ini kena check out dan akan berpatah balik ke Sapporo. Semua ahli kumpulan sudah bangun awal untuk memasak bekalan makanan sepanjang perjalanan nanti.

Travel to Hokkaido
Himawari no sato

JPTG telah menyusun jalan balik ke Sapporo melalui Hokkaido Expressway. Kami akan singgah di Hokuryu Himawari No Sato iaitu satu perkampungan bunga matahari yang terletak di Hokuryu-cho. Sepanjang perjalanan dikawasan perkampungan ini, anda akan di sambut dengan deretan bunga matahari di kiri kanan jalan.

Travel to Hokkaido
On the way mintak singgah bendang

Sampai dan parking, semua ahli kumpulan sudah teruja melihat kuning keemasan daripada jauh. Apa yang menariknya ladang ini merupakan ladang bunga matahari yang terbesar di seluruh Jepun. Boleh berjalan di celah-celah bunga matahari. Semua sudah diingatkan supaya jangan memetik atau mematahkan pokok yang ada.

Puas 2 jam bergambar, berselfie, meronda, posing sana sini. Seterusnya kami perlu segera ke Sapporo, memandangkan hari mendung dan mula hujan renyai.

Travel to Hokkaido
On the way balik, singgah RnR makan bekalan dulu.. Nasi sejuk pun sedap

Perjalanan dari Hokuryu ke Sapporo memakan masa hampir 2 jam. Sampai di Sapporo, lokasi kedua untuk hari ini Shiroi Koibito Chocolate Factory. Disini anda berpeluang tengok pemprosesan coklat secara live didalam kilang.

Selain itu, kilang ini menyediakan taman yang sangat cantik dan penuh dengan hiasan lampu. Serta seni bina bangunan yang lain dari yang lain, seperti berada di Eropah pun ada. Ruang solat pun disediakan dibangunan utama tingkat 2. Tetapi produk coklat mereka sukar nak dapat yang boleh dimakan. Shortening dan emulsifier yang digunakan berasaskan haiwan (kebiasaannya babi).

Kandungan bahan tersebut sudah kami sahkan melalui panggilan telefon, dan dinasihatkan oleh bahagian pembuatan mereka bahawa produk mereka kebanyakkan tidak sesuai dimakan oleh oleh vegeterian dan muslim.

Travel to Hokkaido
Taman di Shiroi Koibito Chocolate Factory

Memandangkan penginapan tidak jauh di sini kami terus menuju ke penginapan untuk bersolat. Semasa musim panas (peak season), penginapan di Sapporo menjadi sangat mahal, dan sukar mendapatkan homestay yang murah. JPTG terpaksa menyediakan 3 buah homestay yang berbeza dan jarak sekitar 1-2km antara satu sama lain.

Agak menyukarkan kerana JPTG perlu menghantar dan mengambil setiap ahli dari tempat dan rumah yang berbeza. Tetapi setiap ahli rumah sangat menepati masa, jadi jadual perjalanan dapat dikuti dengan tepat.

Malamnya selepas solat kami keluar lagi berjalan disekitar Sapporo dengan kereta dan makan malam di restoran Turki (Halal) berhampiran masjid Sapporo. Kemudian kami meninjau kawasan masjid Sapporo untuk solat sunat hari raya dan guide meninjau jadual untuk mengetahui waktu solat keesokan hari.

HARI KEEMPAT DI HOKKAIDO

(SAPPORO > YAMAMOTO FRUIT ORCHARD > OTARU CANAL > OTARU SAKAIMACHI STREET > TANUKI KOJI SHOPPING > HORYU RAMEN > SAPPORO CITY)

Sambut raya di Jepun
Khutbah raya

Hari yang ditunggu-tunggu dan semua sudah membawa persiapan baju raya. Masing-masing sudah memasak sedikit juadah untuk kami berkelah selepas sembayang nanti. Kami terus ke Masjid Sapporo kerana solat sunat akan bermula pada pukul 7.30 pagi.

Suatu pengalaman yang sangat manis dan dapat pengalaman beraya di perantauan. Tetapi perasaan tetap bercampur baur bila berjauhan dengan ahli keluarga dan sanak saudara lain.

Sambut raya di Jepun
Berbaju raya semuanya

Mendengar khutbah dalam Bahasa Inggeris, kami berkesempatan bertemu dengan komuniti muslim disini, beberapa pelancong dan pelajar Malaysia. Masjid penuh hingga ke ruangan bangunan sebelah menunjukkan ramai muslim di Sapporo.

Selepas selesai solat sunat, kami bergerak ke Otaru city. Dalam perjalanan kami singgah di taman untuk makan juadah raya kami. Tak sempat merasa sayu sebab tidak berhari raya di Malaysia sebaliknya kemanisan dikongsi bersama. Juadah tidaklah sehebat di Malaysia, Namun cukup sekadar meraikan hari yang mulia ini.

Kami terus ke tempat yang sudah dirancang, kami ke ladang buah-buahan di Yoichi. Sebuah perkampungan berada disebelah bandar Otaru. Kami ke ladang, bayar dan makan sampai kenyang!

Sambut raya di Jepun
Anggur masih belum sampai masa untuk dimakan

Kami dibekalkan dengan bakul kecil dan gunting untuk memetik buah. Terpesona kerana melihat  bermacam-macam buah ada di sini. Semua buah-buahan yang ada di pasaraya ada di sini, epal, cerry, blue berry, pear, peach, plum dan lain-lain.

Memang hilang akal dibuatnya. Syarat utama ladang ini kita dibenarkan makan sebanyak mungkin tetapi jangan membazir dan jangan membuang sampah merata-rata. Sedikit peringatan jika anda mahu ke ladang buah seperti ini, jangan makan epal dahulu. Makan dulu buah-buahan kecil yang lain.

Sambut raya di Jepun
Cherry dah hujung musim

Kalau makan epal awal-awal cepat kenyang, jadi tak berpeluang merasa buah yang lain. Kami sebenarnya mengalami sedikit kesukaran untuk berjalan  kerana berbaju kurung dan baju melayu di samping kasut raya.

Ladang pula basah kerana hujan lebat semalam. Kasut kami dah macam masuk ke dalam sawah padi. Semua itu tidak menjadi masalah dan halangan, seumur hidup tidak pernah melihat pokok buah-buahan import ini. Buah epal yang tidak mencapai spesifikasi hanya dbiarkan berguguran di bawah pokok sahaja dan dibiarkan menjadi baja. Rasa buah di sini, sangat manis, sedap , segar dan amat berbeza dengan yang kita beli di Malaysia.

Sambut raya di Jepun
Dah macam pekerja ladang menyambut raya

Seteleah selasai makan buah, perut pun berkeroncong kami berpatah balik ke Otaru, bandar  kecil ditepi laut. Otaru canal yang dicanang satu dunia tu kami jenguk dari kereta sahaja. Bagi JPTG, canalnya tak terlalu menarik sangat.

Kami singgah makan seafood di Donburi Chaya, tempat wajib pergi apabila ke Otaru. Makanan halal disediakan, sedap dan mempunyai tempat solat. Selesai makan dan solat, kami berjalan di Sakaimachi shopping street untuk mecari cenderamata.

Sambut raya di Jepun
Shopping sampai tutup kedai dengan baju pun tak tukar lagi

Dalam perjalanan pulang malamnya kami singgah makan malam di Horyu ramen. Nak mencuba ramen halal original dari bumi Jepun sendiri. Nak dikatakan sedap terlalu subjektif. Jika dibandingkan dengan mee di Malaysia yang pelbagai aneka rasa, ramen ternyata ditangga terbawah.

Sebelum balik ke penginapan kami sempat lagi singgah shopping di Tanuki Koji sampai ke shopping street di laluan bawah tanah. Shopping sampai kedai tutup. Di Sapporo kedai tutup terlalu awal. Ada yang sudah mula tutup sekitar jam 7 petang.

HARI KELIMA DI HOKKAIDO

Travel to Hokkaido
Convoy 2 buah kereta

Hari ini, hari terakhir untuk bersiar-siar. Kami memasak bekalan makanan seawal pagi untuk bergerak ke Noboribetsu. Ada dua tempat untuk kami lawati  hari ini, Jigokudani (Hell Valley) dan Date Jidaimura. Kami ke Noboribetsu melalui jalan pergunungan, menggunakan Route 453 dan melalui tepi Shikotsu Lake.

Travel to Hokkaido
Shikotsu Lake

Dalam perjalanan kami singgah di Shikotsu Lake untuk menikmati bekalan sambil berkelah. Tasik ini menjadi tumpuan pemancing dan dijadikan tempat istirahat bagi warga tempatan. Airnya yang jernih dan dikelilingi bukit bakau membuatkan permandangannya sangat tenang.

Perjalanan diteruskan ke Noboribetsu Date Jidaimura, tempat untuk pengalaman menyaksikan kehidupan tradisional orang Jepun semasa zaman Edo, senibina bangunan, ninja, samurai dan pengalaman memakai kimono.

Travel to Hokkaido
Date Jidaimura

Selepas puas berkimono, bergambar dll kami terus ke destinasi seterusnya, Jigokudani (Hell Valley) iaitu kawasan sulfur gunung berapi. Bau sulfur disini sangat kuat, jadi jika anda penghidap penyakit asma tidak sesuai untuk ke kesini. Kami kemudian berpatah balik ke Sapporo dan berhenti membeli belah di Tanuki Koji shopping street.

Perut berkeroncong tetapi tetap bertahan sebab ada lagi barang yang belum berjaya dicari. Hari ni juga shopping sampai tutup kedai. Semua merancang makan dipenginapan sahaja untuk habiskan stok makanan yang dibawa dari Malaysia. Dan perlu kemas bagasi untuk esok.

Travel to Hokkaido
Abam-abam ninja

HARI KEENAM DI HOKKAIDO

Hari ini hari terakhir. Seawal 6.00 pagi sudah check out dah terus bergerak ke Chitose Airport. Pukul  7.30 sudah beratur untuk daftar masuk. Penerbangan balik mereka akan transit di Bangkok.

Travel to Hokkaido

Tulisan ini ditulis oleh Pn. Noliza salah seorang dari ahli kumpulan dan diedit semula oleh JPTG supaya ayat tak skema sangat. Almaklumlah cikgu..

MAKLUMAT PERCUTIAN

  • 11 orang dewasa
  • 6 Hari 5 Malam
  • Kos : RM2900 / Pax (Tidak termasuk tiket flight & makanan sahaja)
  • Full Private Transport – Convoy 2 buah MPV
  • Penginapan – Economy Homestay
SHARE

2 thoughts on “TRIP GANG CIKGU SAMBUT A’IDIL ADHA DI BUMI HOKKAIDO (6 HARI 5 MALAM)

  1. Percutian yg sgt berbaloi & menyeronokkan. Pengalaman yg x kan dilupakan. Tour guide yg kebabom sempoi & terbaik. Semua diatur dgn baik & brjalan lancar. Smg ada rezeki utk pegi lg & semestinya dgn Japanprotravelguide. Smg terus sukses.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *