Japan Travel - Japan Travel Guide - Travel to Japan - Melancong ke Jepun

4 MUSIM & GEOGRAFI DI JEPUN

TIP PERJALANAN

Perkongsian kali ini, Japan Pro Travel Guide mahu menerangkan secara mendalam mengenai musim & geografi di Jepun. Ilmu ini tak perlu bagi anda sebagai pelancong. Tetapi kami sebagai professional perlu memberi sedikit penerangan supaya pandangan anda lebih terbuka luas.

Agak sukar menerangkan bahasa geografi kepada semua lapisan masyarakat, jadi kami akan cuba menggunakan bahasa mudah yang boleh difahami oleh semua.

Sebelum itu, kami nak ingatkan kalau ada iklan pass train, flight atau apa-apa sales melibatkan perjalanan di Jepun dalam ruangan iklan jangan lepaskan peluang terus klik dan cek tawaran produk jualan mereka. Iklan-iklan tersebut timbul ikut apa yang tengah anda cari dan offer tersebut kadang kala tak masuk akal. Dan tenggelam timbul. Bila kita nak dia tak timbul.

Di bawah kami akan terangkan mengenai empat musim utama di Jepun dan perbezaan di setiap kawasan semasa musim yang sama. Peta yang ditunjukkan harus anda perhatikan dimanakah Tokyo, Hokkaido, Osaka, Laut Jepun dan Laut Pasifik.

Guna google map je

MUSIM SEJUK (WINTER)

Pergerakkan angin, tekanan udara dan bentuk muka bumi punca utama yang memberi kesan kepada kadar salji disetiap kawasan di Jepun. Semasa musim sejuk, suhu dikawasan Siberia dan Russia menjunam hingga -40 ~ -50 °C daripada takat beku 0 °C. Kawasan ini menjadi zon tekanan tinggi dan angin sejuk bergerak ke sekitarnya termasuk kearah Jepun.

Semasa pergerakkan angin merentasi Laut Jepun (Sea of Japan), ia menyerap banyak wap air yang terhasil dari laut yang berpunca dari perbezaan suhu antara suhu air yang mengalir dan suhu udara.

Angin sejuk dari arah Russia tersebut bergerak terus ke kepulauan Jepun dan dihalang oleh kawasan pergunungan. Sama seperti konsep hujan di Malaysia, salji akan turun dengan lebatnya dikawasan tersebut seperti Asahikawa, Niigata, Akita, Nagano dan Gifu. Dan membawa saki baki salji itu ke kawasan lembah yang menghadap Lautan Pasifik.

Kawasan lembah gunung yang menghadap kearah Laut Jepun akan lebih tebal berbanding lembah yang menghadap Lautan Pasifik. Kebiasaannya dikawasan lembah menghadap Laut Jepun menerima salji lebih awal (penghujung November – awal Disember).

Credit : Terrace Mitsumori

Di kawasan yang menghadap Lautan Pasifik seperti Tokyo, Nagoya, Osaka hingga ke Fukuoka salji boleh dikatakan “rare” turun dikawasan tersebut tetapi ketika ribut salji, ia boleh sampai memenuhi kawasan tersebut dan membantutkan aktiviti harian penduduknya.

Jika anda mahu pengalaman salji anda perlu memilih tarikh di penghujung November hingga ke penghujung April. Walaupun pertengahan bulan Mac sudah pun bermula musim bunga, tetapi di kawasan lembah menerima salji tebal tadi masih mempunyai stok salji yang tebal dan memakan masa untuk cair.

Contohnya anda berada di Tokyo di pertengahan Disember, maka anda perlu ke Nagano atau Niigata untuk berjumpa salji. Jika anda berada Osaka, anda perlu bergerak ke arah Gifu yang mana disana terdapat satu tempat tarikan yang popular iaitu Shirakawago.

Di Sapporo kadang kalanya salji mencair 80% selepas salji tidak turun beberapa hari, jadi anda perlu bergerak kearah zon salji tebal seperti Asahikawa dan jangan lepaskan peluang singgah di Ningle Terrace diwaktu malamnya.

MUSIM BUNGA (SPRING)

Musim bunga bermula pada pertengahan bulan Mac bagi kebanyakkan tempat. Bunga Sakura akan menyambut ketibaan musim bunga setiap tahun di Jepun.

Dikawasan seperti Fukuoka dan Hiroshima bunga Sakura akan  mula berkembang lebih awal berbanding Tokyo, Nagoya, Osaka & Kyoto. Bagi kawasan utama seperti Tokyo, Osaka & Kyoto, bunga Sakura ini akan mula berkembang pada penghujung bulan Mac hingga awal bulan April bergantung pada keadaan cuaca dan suhu tahun tersebut.

Jika tarikh tiket anda sudah pun terlewat pada pertengahan April, jangan kecewa, anda perlu menambah dalam itinerary anda bergerak ke zon sejuk seperti Nagano, Niigata dan Yamanashi. Paling mudah ialah ke lembah gunung Fuji, kawasan Fujikawaguchiko Town.

Di sebelah Kofu dan Nagano bukan setakat bunga Sakura sahaja yang akan menunggu anda, ladang buah Peach yang berbunga berwarna pink juga akan menunggu anda dikaki-kaki gunungnya.

Musim bunga di kawasan Hokkaido terutamanya lebih lewat. Kebiasannya dipenghujung bulan April hingga awal bulan Mei. Jadi anda boleh memilih terus membeli tiket ke Hokkaido atau dapatkan JR Pass terus ke Hokkaido, bergantung pada bajet anda.

Menyebut mengenai bunga. Bunga akan mula ditanam secara berperingkat mengikut musim sehingga musim luruh, yang mana jadualnya akan kami kongsikan didalam post akan datang. Anda perlu tahu, tidak semestinya musim panas dan luruh tiada bunga yang cantik dan popular.

MUSIM PANAS (SUMMER)

Musim panas diseluruh kawasan adalah sekata mulai bulan Jun hingga September. Panas di Jepun lebih bahang dan udaranya juga kering dan tidak sama dengan kelembapan udara di Malaysia.

Jadi jika anda melancong di musim panas, pastikan anda minum mencukupi dan elak berjalan dikawasan lapang diwaktu tengah hari.

Musim panas sangat sesuai untuk kaki shopping dan peminat taman tema. Siang yang panjang memberi kesan pada mental anda untuk kekal bertenaga berbanding musim sejuk yang sudah mula gelap pada pukul 4.30 petang.

Japan Travel - Japan Travel Guide - Travel to Japan - Melancong ke Jepun

Di Sapporo, musim panas merupakan waktu yang sangat popular bukan sahaja bagi orang Jepun, juga seluruh dunia dengan kehebatan ladang bunga dan buah-buahannya.

MUSIM LURUH (AUTUMN)

Musim luruh disambut dengan cuaca dingin dimalam hari & siang yang semakin pendek. Ketika peralihan musim ini, angin kuat dan taburan hujan menjadi tinggi.

Suhu mulai rendah dan pada satu suhu tertentu daun-daun mula berubah warna. Perubahan ini juga berbeza mengikut kawasan dan geografinya. Dikawasan sejuk dan bakal menerima salji tebal akan mula berubah pada awal November.

Ketika ini, jika anda melalui kawasan pergunungan dan bukit bakau dengan kenderaan sendiri, anda akan terpukau dengan keindahan dan tona warna bukit-bukit sepanjang perjalanan anda dan memberi satu pengalaman yang sangat berbeza.

Dikawasan seperti Fuji, pertengahan November adalah waktu yang terbaik. Manakala kawasan seperti Tokyo, Osaka & Kyoto “peak autumn” pada penghujung November hingga awal Disember.

Dengan mengetahui serba sedikit perbezaan musim & perbezaan keadaan mengikut geografi ini, anda boleh memilih tarikh yang betul & tempat yang betul untuk dimuatkan dalam itinerary anda di Jepun.

Kami kebiasaannya akan mencadangkan waktu-waktu yang terbaik untuk bakal pelanggan kami untuk mendapatkan pengalaman dan kenangan yang terindah.

SHARE

5 thoughts on “4 MUSIM & GEOGRAFI DI JEPUN

      1. Cuma tempat-tempat ski resort ni tak best seperti kawasan utara Jepun. Salji belah utara lagi tebal dan lembut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *