RENTAL CAR @ KERETA SEWA DI JEPUN

TIP PERJALANAN

Kepada yang dah biasa travel DIY ke New Zealand, Aussie dan lain-lain mungkin rasa Jepun juga negara yang mudah untuk drive kan?

Sekejap.. Fikir dulu. Memandu di Jepun terutama dibandar besar seperti Tokyo dan Osaka bukan perkara mudah. Mereka yang tinggal di Jepun, tetapi tak biasa memandu dibandar pun bermasalah.

Guide sendiri pun ada yang tak mampu memandu dibandar-bandar besar. Kena saman tersilap lorong, cross line kuning di simpang, over limit, sesat dalam terowong bawah tanah. Dalam terowong pun ada simpang antara perkara paling mengerikan. Tersilap simpang habis masa pusing semula dan layan tol. Google map atau apa-apa online map sangat tak membantu saat macam ni.

Kat bawah ni statistik yang dikeluarkan sampai 平成29年 (Tahun 2017). Setiap tahun lebih 6000 kes kemalangan melibatkan rental car di Jepun. Warna pink tu pelancong atau orang asing yang menggunakan permit international (国際免許).

Sumber : Cabinet Office, Government of Japan

Setiap tahun makin meningkat kerana pelancong sudah berani untuk memandu di Jepun walaupun baru pertama kaki pijak kaki disini. Syarikat sewa kereta hanya akan memikir income mereka dan akan ambil kesempatan dan keuntungan berlipat kali ganda atas anda jika tidak mengambil sebarang pelan insuran.

Ini data yang dikeluarkan dari kumpulan syarikat kereta sewa berdaftar. Belum lagi data kereta sewa terbang ikat tepi yang ditawarkan oleh warga kita yang menetap di Jepun.

Langgar dinding rumah, langgar orang disimpang, illegal parking perkara biasa yang terkena pada pelancong tapi tidak dihebohkan. Yang dihebohkan hanya keseronokkan sahaja.

Jalan di Tokyo dan Osaka terlalu complicated untuk pelancong dan sangat berisiko tinggi. Anda boleh buka google map dan gunakan street view untuk lihat keadaan jalan dibandar besar ini.

Lebih baik gunakan kenderaan awam seperti train, subway dan bas kalau sekadar didalam bandar utama. Jauh lebih murah dari menggunakan kereta. Untuk perjalanan diluar bandar lebih selesa menggunakan kereta.

Jika terpaksa kerana ada ahli kumpulan anda ada yang kurang upaya, warga emas dan masalah kesihatan, kami cadangkan anda gunakan sahaja servis private guide di Jepun yang cekap memandu disekitar bandar.

Antara undang-undang memandu di Jepun perlu anda tahu;

SISTEM TRAFFIC LIGHT

Sistem traffic light di Jepun sangat berbeza dengan kita di Malaysia. Kami pun sangat tak bersetuju dengan sistem mereka yang agak merbahaya dan leceh. Kebanyakkan simpang, pejalan kaki dan lorong belok ke kanan dan ke kiri hijau serentak. Potensi untuk langgar pejalan kaki atau dilanggar semasa membelok ke kanan sangat tinggi.

Ada kenalan kami warga negara Malaysia maut kemalangan disimpang empat semasa membelok ke kanan kerana dilanggar dari arah depan.

Kemalangan melibatkan pejalan kaki dan pengguna basikal juga bukan kes terpencil. Sekali anda langgar, papa kedana anda dibuatnya kalau tak ada insuran kenderaan yang melindungi anda. Untuk makluman, travel insuran takkan cover kes anda langgar orang.

Kalau pinjam kereta student atau kenalan tanpa insuran tu beringat lah sebelum terkena. Niat nak berjimat tu akan bawa padah yang lagi parah kalau berlaku sebarang kemalangan. Boleh dikatakan majoriti student atau warga asing yang memiliki kereta di Jepun tak mengambil apa-apa polisi insuran kenderaan. Kalau ada pun tidak akan cover orang lain yang memandu keretanya.

Jika kemalangan melibatkan orang lain atau nyawa, tanpa sebarang perlindungan insuran kenderaan, sediakan 300,000 Yen (+-RM10k) hingga 1,000,000 Yen (+-RM38k) untuk kerosakan, kecederaan, pampasan dan lain-lain.

Jangan fikir orang Jepun jujur sentiasa. Jika ada peluang untuk ambil kesempatan, mereka akan guna sepenuhnya. Kemalangan peluang untuk mereka ni claim itu dan ini keatas anda. Kalau pinjam atau sewa kereta tanpa dash camera, tak boleh berbahasa Jepun, lagi teruk anda dikenakan.

STOP (止まれ)

Papan tanda bewarna merah, bertulisan Jepun tu disebut “Tomare” atau Stop. Anda mesti berhenti sebelum garisan sekurang-kurangnya 3 saat walaupun tiada kereta masa tu.

Disini banyak kemalangan berlaku dan banyak saman dikeluarkan. Walaupun anda mengayuh basikal, tetap kena berhenti sebelum meneruskan perjalanan.

Lagi satu, jalan di Jepun sangat sempit. Anda wajib berhenti dibelakang garisan untuk memudahkan kenderaan lain terutama bas membelok kekanan atau kekiri.

SPEED LIMIT (法定速度)

Papan tanda bulat tu kalau ditulis “40”, jadi speed limit jalan tu hanya 40 km/h. Mengikut pengalaman kami, dikawasan highway kebiasaannya speed limit hanya 80-90 km/h, tetapi setakat ini tak menjadi masalah over limit sekitar 100 km/h.

Dikawasan bandar atau jalan kampung jalan cuba untuk melebihi had. Potensi dikejar polis atau terlanggar orang sangat tinggi.

LINE & LORONG

Kalau lorong anda terus pastikan berada dilorong lurus, jangan berada di lorong belok ke kanan atau ke kiri. Jangan cuba tukar laluan last minute terutama diatas Yellow Line.

Nak rasa bagaimana polis Jepun kejar anda dengan basikal atau berlari, sila cuba langgar peraturan lorong ini. Kesalahan ini dikira sebagai kesalahan besar disini dan saman sekurang-kurangnya 25,000Yen (+-RM1000) dan keatas.

PARKING

Parking di Jepun terutamanya Tokyo boleh dikatakan mencekik darah. Purata sekitar 500Yen untuk 20 minit atau 1500Yen untuk satu jam. Anda perlu melabur sekurang-kurangnya RM50/jam untuk parking sahaja. Itu sebabnya bila anda menggunakan private package dan private transport 100% kos akan melambung tinggi.

Parking di Jepun bukan benda mudah. Tak semudah di Kuala Lumpur, yang mana kita boleh parking sesuka hati ditepi jalan atau dikawasan lapang kalau tak nak parking berbayar.

Ada ruang parking kosong tak semestinya anda boleh parking sesuka hati. Kadang-kadang parking tersebut, parking individu atau syarikat yang dibayar secara bulanan. Kalau anda parking sesuka hati, sama ada anda akan dimaki serta merta atau mereka akan panggil polis.

Saman illegal parking sekitar 15,000Yen (+-RM600). Mesti dijelaskan dibalai polis. Kalau anda menggunakan servis rental car, anda akan dikenakan caj hampir 2 kali ganda kalau tak selesaikan sendiri saman tersebut. Kalau guna kereta sewa ikat tepi tu tak tahu lah, pemilik lah yang kena tanggung.

Jangan ikut perangai orang Jepun yang parking dibahu jalan sesuka hati. Dibandar utama jangan laju dilorong kiri kerana banyak kereta atau lori berhenti ditepi jalan. Pemandu tu biasanya pergi convenience store atau makan direstoran sebelah jalan. Cukup dengan memasang hazard lamp, mereka tinggal kenderaan ditepi jalan begitu sahaja.

Teksi atau lori barang biasanya suka berhenti disimpang-simpang walaupun dekat dengan traffic light. Mereka kebal saman, negara mereka. Kalau anda langgar, anda yang akan dipersalahkan pula.

Jika berlaku kemalangan semasa memandu di Jepun, apa yang perlu dibuat?

Pertama sekali wajib call polis 110. Bersilat lah anda jika tidak boleh berbahasa Jepun. Kemudian call ambulance 119 jika ada kecederaan atau kemalangan nyawa. Seterusnya call syarikat kereta yang anda sewa dan maklumkan kemalangan yang terjadi.

Setiap kes kemalangan berbeza kesudahannya. Bergantung pada cara anda mengawal keadaan, kefahaman komunikasi, siapa yang membantu anda, polis yang mengurus kes anda, orang yang terlibat dengan kemalangan, insuran kemalangan dan kecekapan syarikat sewa kereta.

Dimana dan bagaimana nak sewa kereta di Jepun?

Di Jepun ni ada banyak syarikat sewa kereta. Boleh dikatakan semua jenama kereta ada menyediakan servis rental car. Tetapi semua syarikat sewa kereta ini tidak menyediakan pemandu (tidak boleh sama sekali mereka menyediakan pemandu).

Senarai syarikat sewa kereta;

  • Budget Rental Car
  • Eki Rental Car (Higashi Nihon)
  • J Net Rental Car
  • Honda Rental Car
  • Nissan Rental Car
  • Nippon Rental Car
  • Toyota Rental Car
  • Times Car Rental
  • Orix Rental Car
  • Dan lebih 50 syarikat lain

Anda boleh terus ke website mereka (English Version) dan buat tempahan secara online. Kalau anda mementingkan bajet, sila lah buat perbandingan kereta setiap syarikat menawarkan harga dan pakej berbeza. Atau melalui broker seperti tabirai.net & jalan.net.

Kalau anda sangat-sangat mementingkan bajet, jangan guna kereta. Kos menggunakan kereta tak semurah yang disangka. Minimum sehari sekitar RM400 tidak termasuk tol, minyak dan parking.

Apakah syarat untuk menyewa kereta?

Tidak banyak syarat dikenakan untuk penyewa kereta. Hanya 3 benda anda perlu sediakan sebelum menyewa kenderaan;

  • Passport
  • Permit Memandu Antarabangsa (International Driving Permit)
  • Kad Kredit (Majoriti pembayaran hanya melalui kad kredit)

Permit memandu antarabangsa tu buat di JPJ terdekat je. RM150 setahun dan boleh digunakan dinegara dalam senarai Convention at Geneva 1949.

Contoh International Driving Permit

Kalau anda tak menyediakan apa yang diperlukan, mereka akan batalkan tempahan anda serta merta walaupun anda sudah berada dikaunter mereka di Jepun. Tiada budi bicara bagi mereka.

Adakah JPTG Menyediakan Kereta Sewa Dan Pemandu?

Tidak. Kami tidak menyediakan kereta sewa dan juga tidak menyediakan pemandu harian. Kami hanya hanya fokus menyediakan servis kepada mereka yang mengambil pakej asas (ground) 100%.

Nak airport transfer sahaja? Nak day trip ke Fuji sahaja? Kami tidak menyediakan servis sebegini kecuali ada kekosongan jadual. Kami lebih fokus kepada kualiti daripada kuantiti kerja.

Kami hanya boleh bantu anda tempah dan sediakan kereta untuk anda tanpa pemandu. Dibawah hanya harga kereta dan insuran kemalangan sahaja. Tidak termasuk one way charge, tol, minyak, baby seat, snow tire dan parking.

JENIS KERETA24 JAM PERTAMA24 JAM BERIKUTNYA
CP19,000 Yen8,000 Yen
CP210,000 Yen8,500 Yen
CP312,000 Yen10,000 Yen
MPV115,000 Yen12,000 Yen
MPV223,000 Yen17,500 Yen
MPV326,000 Yen20,000 Yen

*Kos diatas hanya basic rate, musim panas lebih mahal dari rate diatas

SUMMER RATE HOKKAIDO (1 JULAI ~ 31 OGOS)

JENIS KERETA24 JAM PERTAMA24 JAM BERIKUTNYA
CP112,500 Yen9,500 Yen
CP213,500 Yen11,000 Yen
CP314,500 Yen13,000 Yen
MPV124,000 Yen14,000 Yen
MPV229,500 Yen23,000 Yen
MPV334,000 Yen25,500 Yen
SHARE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *